Jack Sparrow Bertaubat Kerana Ustaz Azhar Idrus??



Orang memanggilku, si Jack Sparrow. Sebabnya aku selalu berpakaian seperti watak dalam filem Pirate Of Caribbean ketika aku melepak bersama budak-budak sekepala dengan aku.
Kerja aku hantar pizza saja. Lahir di Segamat. Dan selalu saja aku berlagak macam orang kulit putih makan pizza, enggan makan nasi waktu tengahari. Sekali datang gastrik, parah aku!

"Yalah Jack! Dah perut melayu mencari nasi juga!" kata kawanku, Ali.

Aku baru kenal Ali sewaktu dia menegurku ketika melepak di pusat membeli-belah ternama di ibu kota. Ali bertanyakan aku lokasi surau. Tapi Ali ni macam susah nak ingat. Dia kata baru pertama kali datang. Jadi aku tolong bawa si Ali ni ke surau tingkat 8.

"Jack! Jom solat sekali!" kata Ali sambil tersenyum kepadaku ketika aku mahu beredar daripadanya.

Aku serba salah mahu menolak. Memang aku ni bengap sikit. Solat ni macam biskut Chipsmore. Sekejap ada sekejap tak ada!
Selepas solat Ali ajak aku makan. Aku mahu menolak tapi Ali harap aku mengikutinya. Kata Ali dia sedang buat pemerhatian.

"Aku terlupa pula. Hari ini Maal Hijrah!" kata sewaktu kami baru habis makan.

"Kau nak berarak ke!" tanya aku pada Ali sambil ketawa.

"Emm, dulu kawan sekampung aku suka berarak. Tapi tak sampai-sampai juga..! kata Ali selamba.

"Apa maksud kau tak sampai-sampai tu?"

Maknanya mereka hanya tahu berarak dan berselawat. Namun adakah mereka sampai kepada pengertian Hijrah yg sesungguhnya?
Jika dahulu Nabi Muhammad S.A.W berhijrah dari Makkah ke Madinah bersama para sahabat, Abu Bakar As-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman Affan dan Ali Karamawajhah serta sahabat yang lain akibat tentangan semakin dasyat oleh kaum musyirikin Makkah.

"Sekarang kita sudah ada di negara Islam dan lahir sebagai orang Islam. Tapi sekadar nama sahaja, dalaman kosong. Macam lagu 'Kosong' tu ler, nyanyian Najwa Latif! kata Ali membuatkan aku termenung.

Aku tahu apa yang Ali bagi tau itu. Bukan aku tak sekolah. Ustazah aku dulu dah cakap benda ni. Ini baru aku teringat balik.

"Anak muda sekarang tak suka pada agama. Kau tengoklah antara konsert dengan ceramah agama mana lebih ramai? Tak kira melepak lagi. Yang menyundal dalam bilik lagi.

"Ditambah sikap orang agama sendiri yang sekadar nak jaga periuk nasi. Berlagak elit hanya tahu mengherdik dan meminggirkan tapi tak tau nak bawa orang kita yang sesat ke pangkal jalan.!"

Tiba-tiba aku berkhutbah. Yalah. Bukan aku tak suka perkara berkaitan agama. Tapi aku dah penat tengok gelagat orang kita. Sama ada yang sesat atau yang hebat-hebat. Aku sendiri pernah di jeling sebab datang Masjid dengan seluar jean dan t-shirt gambar tengkorak.

Aku tau tak berapa elok tapi sekurang-kurangnya aku nak sembahyang. Walau sembahyang aku tunggang tonggek sahaja. Apa kata bagi aku satu baju, kan bagus. Pinjamkan aku kain pelekat bersih, kan molek. Daripada jeling macam ikan jerung nak makan orang!

"Benar apa kau kata. Aku nak ajak ko tengok ceramah. Nak tak?!"

Aku tak angguk dan tak geleng. Ali ni betul-betul nak ajak aku ke?
Apa pun entah macam mana hati aku ni macam ais cairlah pulaj. Bukan apa.

Aku tengok Ali tak kutuk aku dan cara aku. Boleh dia melepak dengan aku di pusat beli-belah buang masa. Aku tengok dia ni macam budak baik-baik. Dia boleh ajak aku main boling dan belanja aku tengok wayang lagi.

Malam itu, 10 Muharram, Ali hubungi aku katanya penting. Aku cuti hari ni. Baru je melepak dengan kawan-kawan.

"Aku nak bawak kau ke Masjid Jamek, Kajang!" kata Ali selamba.

"Kau biar betul. Tak naklah aku. Wei! Dengan pakaian aku macam ni!"

"Sabarlah bro.. Ko tengok aku pun macam ko lah. Aku tak sempat gesek lutut atas jalanlah beb!" kata Ali membuatkan aku ketawa.

"Wei itu Masjidlah. Nanti orang semua orang tengok aku. Dah, aku nak balik. Okey stop kereta kau. Aku balik naik teksi!"

"Ceh, nampak brutal hati macam budak kecik. Aku tak bawa kau masuk dalam Masjidlah. Lalu luar jer. Aku nak kau tengok saja Majlis Ilmu tu macam mana!

Dalam kepala aku tentulah orang pakai lebai. Berjanggut berserba.
Sopan-sopan belaka. Orang-orang tua atau kanak-kanak buat bising kat belakang Masjid atau ada yang tertidur. Hahaha. Aku taulah!

Bukan aku tak pernah pernah pergi dengar ceramah. Tapi tu masa kecil dulu, aku di kampung. Berapa ramai sangat nak dengar ceramah agama daripada konsert atau gig atau melepak di pusat beli-belah!

Setibanya kami di suatu simpang, Ali menunjukkan kepada aku menara Masjid. Kira-kira 100 meter ke depan. Wow! Jalan sesak ni. Bukankah hari ni hari cuti??

"Ya, ni semua kereta orang yang datang nak dengar ceramah Ustaz Azhar Idrus!" kata Ali.

Macam aku pernah dengar nama tu, tapi dimana ya?

Kami berhentikan kereta kereta di pinggir jalan. Banyak kereta diletak sepanjang jalan. Siap ada polis trafik kawal lalu lintas lagi.
Aku mengekori Ali dari belakang. Sepanjang jalan berdekatan Masjid sahaja, sudah padat dengan motosikal. Penuh beb! Lepasi pintu gerbang memasuki halaman Masjid, berdiri banyak gerai-gerai.

Wow, ini semua jual barangan Islamik. Pelekat kereta Islam. Baju ada lambang 'Kami Sayang Islam' dan lain-lain lagi. Siap ada jual bendera bertulis Khalimah Tauhid lagi. Jubah wanita hitam berpurdah pun ada. Lebai songkok CD dan buku-buku agama jangan cakaplah. Gerai makanan pun ada. Semuanya orang Islam jual. Sejuk pulak mata aku memandang.

Pusat beli-belah tempat aku suka melepak di ibu kota kedai-kedai dimiliki kaum cina dan jenama antarabangsa. Dah pakaian pun dijual bukan Islam faham-faham sajalah. Kalau gerai makan pun banyak makanan Jepun, Barat, Cina, Korea. Makanan ringan dari Lousina, Amerika Syarikat pun ada.

'Dajalnya' semuanya mahal-mahal belaka. Takat mamat hantar pizza macam aku kena kumpul duit dululah baru aku boleh merasa. Kadangkala aku sangsi juga entah Halal atau Haram status makanan dan minuman yang dijualnya. Tapi disini Melayu kita 'kongker.'

Paling nak nangis apabila tengok mamat rokers macam rambut karan pegang gitar berselisih dengan aku!

"Ko tengok siap ada 'wayang pacak' lagi! kata Ali menarik tangan aku ke suatu arah. Terpampang wajah sang Ustaz sedang beri ceramah. Tong sound berceratuk merata tempat. Yang duduk pun ramai siap bentang sejadah atas tar lagi. Perghh! Gila ramai. Aku menjeling ke dalam Masjid. Memang padat.

Sampai tak boleh jalan dah. Yang berdiri macam aku pun ramai.
Ohhh ini ke Ustaz Azhar Idrus! Gaya penyampainnya bersahaja dan melucukan. Namun terselit Ilmu dan pengajaran yang berkesan di hati aku.

Aku turut terbahak-bahak selain terbawa berfikir merenung sesuatu yang diperkatakannya. Dahlah loghat 'ganunya' menarik hati aku. Antara kata-kata Ustaz Azhar yang masih aku ingat ialah......

"Kite nih, dari bubung sampai hujung kaki. Semuenye milik Allah.
Kalau orang luor panggil ubun-ubun. Bukan obor-obor tu menate!

"Ha! Ha! Ha!"

"Sebab itulah ada kalimat Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Rajiun. Sebab milik Allah la Dia boleh ambil terus, balik. Ada yang Dia ambil sikit-sikit. Tengok! Rabung dah! Tak nampok dah! Kadang-kadang mato cerah, telinga pulak tak denga!

"Dikatekan Tok Wang [Wan] aku ni mata terang. Telinga tak dengo. Uh! Matenya kalau duduk kat Kelantan, nampok Acheh! Uih! Cerah mato Tok Wang napok abeh. Tapi telinga tak dengo. Bila orang tanye. Pok Cik maghi [mari] mane. Jawabnya, "Lime kilooo.."

"Ha! Ha! Ha!"

"Kadang-kadang mate terang. Lidah pulok kelu tak leh cakap. lambat pulak memike. Molek belake, kedut kulit pulok doh. Cuba tengok bini kite nanti. Tengok Album mude-mude dulu. Comel sokmo. Banding dengan usia sekarang. Macam baulu!

"Ha! Ha! Ha!"

"Kalau diri kite nih milik diri kite sendiri pastilah muke kite muda sokmo! Ini semua bukti yang kita milik Allah. Bakal pulang kepada Allah!

Aku asyik memikirkan tentang diri aku. Kalau dikaitkan dengan kata Ustaz Azhar Idrus tadi, kita ni milik Allah dan bakal pulang kepada Allah.

"Di dunia kita diberi jalan kebaikan dan keburukan. Kalau kita merasakan kita berada di jalan gelap dan songsang, maka kembalilah kita berhijrah segera sebelum kita dihijrahkan ke alam Barzakh! kata Ali membuatkan aku susah nak tidur malam itu.

Mulai Subuh itu aku bangun dan mendirikan solat.

"Ya Allah, hambamu ini berhijrah kepada-Mu biarpun segunung dosaku kepada-Mu namun ampunan dan rahmat-Mu melaut luasnya. Tenggelamkanlah daku dalam pengampunan dan pandangan kasih sayang rahmat-Mu. Aamiin.."

Kini baru aku sedar. Aku bukan Jack Sparrow. Aku hamba Allah bernama Hafiz Hambali.

Sumber : Mastika


Klik share untuk berkongsi di wall facebook anda

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...