KOTA KINABALU: Kira-kira 200 penumpang kebanyakannya kakitangan kerajaan
nyaris maut apabila kereta api dinaiki mereka merempuh sebuah lori
tangki bermuatan 27,000 liter petrol yang menyebabkan letupan kuat di
lintasan kereta api haram berhampiran Kilometer 5, Jalan Kota
Kinabalu-Putatan, Petagas, dekat sini, semalam.
Letupan itu menyebabkan gegaran kuat di sekitar Petagas dengan asap
tebal boleh dilihat dari jarak kira-kira lima kilometer (km), selain
kesesakan lalu lintas yang teruk sepanjang kira-kira 10 km dari Jalan
Kota Kinabalu-Putatan dan sebaliknya.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, lapan penumpang kereta
api cedera ringan manakala pemandu lori berkenaan tidak cedera.
Kereta api tiga gerabak itu dalam perjalanan dari Stesen Kereta Api
Tanjung Aru, di sini membawa penumpang yang kebanyakannya kakitangan
kerajaan yang baru pulang kerja ke Stesen Kereta Api Papar, kira-kira 70
km dari sini.
Kereta api milik Jabatan Kereta Api Negeri Sabah
(JKNS) itu dikatakan baru meninggalkan stesen berkenaan pada jam 5
petang dan dipercayai bergerak pada kelajuan antara 40 hingga 50 km
sejam tetapi pemandunya dipercayai gagal memberhentikan kenderaan itu
kerana agak hampir dengan lori berkenaan.
Ia menyebabkan kepala
dan gerabak pertama kereta api itu tergelincir ke kanan landasan
sebelum hangus manakala lori itu terputus dua dengan bahagian kepala dan
tangkinya terpisah kira-kira 10 meter di kiri dan kanan landasan.
Penumpang yang panik terpaksa memecahkan cermin kereta api dan
melompat keluar bagi menyelamatkan diri daripada api yang menjulang
setinggi kira-kira 30 meter.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk
Hamza Taib berkata, kejadian dipercayai berpunca akibat pemandu lori
membelok ke kiri jalan untuk melintasi landasan sebelum membawa bahan
api itu ke sebuah stesen minyak, kira-kira 300 meter dari tepi landasan.
“Pemandu lori dipercayai gagal mengesan kereta api berkenaan tetapi
sempat melompat keluar dari kenderaannya sejurus sebelum kenderaannya
dirempuh kereta api," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Jurucakap JKNS berkata, kejadian menyebabkan kepala kereta api seberat
kira-kira 60 tan itu tergelincir ke kanan landasan manakala gerabak
depan hangus.
Katanya, lintasan kereta api berkenaan dibuat pihak tertentu secara haram, menyebabkan tiada pintu di landasan berkenaan.
Beliau berkata, kereta api itu baru dibeli JKNS dari China mula
beroperasi sejak Februari lalu selepas dihentikan selama lima tahun
berikutan projek menaik taraf landasan berkenaan.
Jurucakap
Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, berkata bomba yang menerima
panggilan pada jam 5.38 petang menghantar lima jentera dengan 35 anggota
ke tempat kejadian dan api berjaya dipadamkan kira-kira jam 6.45
petang.
Penumpang terpaksa pecah cermin selamat diri
KOTA
KINABALU: “Saya duduk di gerabak pertama. Tiba-tiba saya dengar
dentuman dan disusuli letupan kuat. Saya nampak api menjulang di sebelah
kanan tingkap kereta api. Saya dan penumpang lain terpaksa memecahkan
cermin untuk melompat keluar.
“Kami takut kereta api meletup.
Bagaimanapun saya bersyukur kerana tiada penumpang yang maut atau cedera
parah,” luahan penumpang kereta api, Irwan Shamsuddin, 29.
Menceritakan detik cemas itu, Irwan yang bertugas sebagai anggota
Jabatan Pertahanan Awam di bandar raya ini, berkata sebelum kejadian,
beliau terdengar bunyi amaran kereta api tetapi tidak menyangka akan
merempuh lori itu.
“Saya fikir pemandu kereta api hanya memberi
amaran kepada orang yang melintas landasan. Bagaimanapun, selepas
dentuman dan letupan itu, saya nampak api menjulang kira-kira 30 meter,”
katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.
Penumpang,
Razmi Jaafar, 37, berkata ketika kejadian beliau dan penumpang di
gerabak pertama baru bergerak meninggalkan Stesen Kereta Api Tanjung
Aru, dekat sini ke Papar pada jam 5 petang.
“Baru setengah jam
bergerak meninggalkan stesen itu tiba-tiba saya terdengar letupan kuat
dari arah depan. Saya nampak api menjulang. Saya dan penumpang lain
terpaksa memecahkan tingkap untuk melompat keluar.
“Saya dan penumpang lain berebut-rebut keluar. Saya sempat menyelamatkan beberapa penumpang yang lain,” katanya.
Pemandu lori, Pauleh Dausun, 45, berkata ketika menghampiri landasan
itu, ada sebuah kenderaan pacuan empat roda di depannya melintasi
landasan.
“Saya dengar bunyi hon tetapi menyangka ia dari treler
atau kenderaan lain di jalan. Saya hanya menyedari kereta api apabila
ia sudah terlalu dekat. Saya cuba menekan pedal minyak. Kepala lori
berjaya melepasi landasan tetapi tangki lori tersangkut di landasan.
“Saya terpaksa melompat keluar. Sejurus meninggalkan lori, saya terdengar dentuman dan disusuli dengan letupan kuat,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, beliau yang tidak cedera bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu.
Saksi kejadian yang hanya ingin dikenali sebagai Liza berkata, ketika
kejadian beliau yang memandu kereta baru keluar dari Lapangan Terbang
Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan terlihat lori berkenaan melintasi
landasan tanpa ada sebarang tanda pemandunya ingin memberhentikan
kenderaannya.
“Tiba-tiba saya nampak kereta api itu terus merempuh bahagian tangki lori itu. Letupannya kuat. Api menjulang tinggi,” katanya.
Sumber: BHarian